Friday, April 3, 2015

Peniaga digesa keluarkan resit GST

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Selangor menggesa pemilik perniagaan yang berdaftar dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seperti kedai runcit dan peralatan supaya mengeluarkan invois cukai atau resit yang memaparkan nombor GST untuk kemudahan pengguna.

Good and Service Tax
Pengarahnya, Datuk Badaruddin Mohamed Rafik berkata, perniagaan seperti kedai runcit harus mengeluarkan resit jualan yang menunjukkan GST enam peratus pada harga barangan yang dijual.

"Peniaga tidak boleh mengeluarkan resit tulisan tangan tetapi sebaliknya  resit bercetak yang menyatakan jumlah GST. Ini memberi petunjuk yang jelas kepada pengguna mengenai barangan dan perkhidmatan yang tertakluk kepada GST," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Mengulas mengenai kes tidak mematuhi GST dalam kalangan peniaga di Selangor, Badaruddin berkata kebanyakan kes ialah peniaga tidak mengeluarkan resit yang betul.

Beliau berkata, 50 pasukan dari Kastam Selangor dikerah untuk operasi sehingga 15 April untuk memantau pelaksanaan GST di negeri ini dan sehingga ini, 67,407 pemilik perniagaan dari pelbagai sektor dan individu telah mendaftar bagi GST di Selangor.

Sementara itu, N.P. Raman, Pengerusi Persatuan Usahawan Little India, Klang berkata, banyak peniaga di kawasan 'Little India' itu masih dalam kebingungan mengenai  sistem cukai GST dan menggesa pihak berkuasa mengadakan lebih banyak seminar dan bengkel untuk peniaga.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng pula berharap pengguna dapat memberi peluang kepada peruncit melakukan proses penyelarasan harga secara berperingkat ekoran
pelaksanaan GST.

Kekeliruan pada barangan yang dikenakan GST dalam kalangan peruncit dan pengguna sememangnya sudah dijangka berlaku pada hari pertama pelaksanaannya semalam, kata Hong.

Beliau berkata, pihak peruncit tidak mungkin dapat melakukan penyelarasan itu dalam sekelip mata pada peringkat awal ini kerana barangan yang melibatkan GST bukannya zsedikit malah banyak sehingga menimbulkan kekeliruan.

"Keadaan ini menyebabkan wujudnya pelbagai masalah seperti kesilapan pada pengiraan, keliru terhadap resit yang dicetak dan dikenakan caj tambahan terhadap barangan yang tidak dikenakan GST," katanya.

Hong berkata, selain itu terdapat peruncit dan peniaga masih belum menguasai sepenuhnya maklumat mengenai GST.

"Mereka mungkin mengetahui barangan mana yang ada GST namun masih belum boleh membezakan antara jenis GST yang dikenakan iaitu GST berkadar standard, kadar sifar ataupun GST tidak kecualikan," katanya.

Hong menjangkakan situasi akan kembali pulih secara normal dalam masa dua hingga tiga bulan selepas pelaksanaan GST.

Katanya ketika peruncit melakukan penyelarasan terhadap harga dan sistem pembayaran, pengguna boleh bertindak sebagai 'pemantau' dengan menegur kesilapan mereka sebelum membuat aduan kepada pihak berkuasa.

"Contohnya, jika pengguna mendapati peniaga mengenakan GST terhadap barangan yang dikecualikan cukai berkenaan, mereka boleh menegur secara baik dan menuntut bayaran balik daripada peruncit atau peniaga.

"Sekiranya peniaga atau peruncit berkeras untuk tidak mahu membayar balik (GST), barulah pengguna membuat aduan kepada KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan)," katanya.

Hong juga berkata, pengguna harus memastikan setiap resit yang diterima oleh mereka mengandungi nama kedai, nombor berdaftar GST ,amaun dan jenis GST yang telah dicaj pada setiap pembelian, termasuk resit secara bertulis.

"Sekiranya mereka hanya mengeluarkan resit secara tulis tangan, resit tersebut perlu ada elemen-elemen tersebut.

"Pengguna berhak untuk tidak membuat bayaran sekiranya resit itu tidak mempunyai elemen-elemen itu dan meminta untuk mengeluarkan resit yang lain," katanya. - Bernama

-----

Aku rasa peniaga-peniaga kedai runcit pun tak nak GST. Bukan lagi senang ke kalau takde GST? Tak payah pening-pening nak paksa peniaga keluarkan resit baru ada GST, tak payah pening-pening nak pastikan pembeli/pengguna bayar lebih 6% untuk barang-barang yang kena cukai GST.

Buat masa ni aku berniaga tepi jalan takde lagi masalah resit-mesit GST ni. Harga makanan sarapan yang aku jual  pun aku tak naikkan harga walaupun harga plastik, kotak nasi, susu cair, kacang dan macam-macam lagi dah naik selepas pelaksanaan GST. Tadi pagi masa berniaga ada customer yang dah biasa beli pun boleh tanya kuih aku jual berapa sebiji? Jawapannya masih 3 biji RM1.00 buat masa ini.

Lama-kelamaan aku rasa rakyat akan terbiasa juga dengan beban GST ni. Sama macam masa harga gula baru naik, mula-mula je bising lepas tu dah terbiasa dah dengan bebanan harga gula mahal. Harga minyak tak tahu lagilah lepas GST ni nak naik lagi ke tidak..

Adakah keterlaluan kalau aku minta GST dimansuhkan? Pendapat korang?

Sumber

6 comments:

  1. Harap-harap peniaga tak ambil kesempatan..

    ReplyDelete
  2. skrg ni ramai perniaga yg ambik kesempatann.. moga lebih berhati hati.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu segelintir peniaga ada yang ambil kesempatan tapi kerajaan pun amik kesempatan jugak kenekan gst pada rakyat Malaysia..

      Delete

Komen yang baik dilayan dengan baik.
Jangan kongsi link di bahagian komen.
Terima kasih.