Tak kiralah anda berniaga tepi jalan sebab baru dihentikan kerja, baru habis study, belum dapat kerja atau sebab-sebab yang lain. Berniaga tepi jalan ni bukan setakat nak kena ada meja, payung atau canopy cantik je.
Apakah tips berniaga tepi jalan? |
Tanpa buang masa inilah perkara-perkara penting yang anda perlukan untuk berniaga makanan atau minuman atau kedua-duanya sekali di tepi jalan.
1. Lokasi
Perkara yang pertama anda perlu cari ialah lokasi.
Cari tempat yang orang ramai senang nampak dan senang singgah. Kalau boleh tepi jalan yang dua hala tanpa divider.
Kenapa?
Sebab orang senang nak melintas walaupun terpaksa parking seberang jalan. Kalau ada divider, biasanya orang malas nak lintas.
Kalau tak dapat tepi jalan dua hala pun jangan risau. Boleh je berniaga di tepi jalan dua hala yang ada divider tapi mesti kena caranya.
Contoh anda nak jual sarapan, pilih tepi jalan orang lalu nak pergi kerja.
Kenapa?
Sebab biasa orang pergi kerja kan waktu pagi. Inilah masanya orang pergi kerja nak cari sarapan dari anda.
Contoh lain anda nak jual pisang goreng waktu petang , pilih tepi jalan orang lalu nak balik dari kerja.
Kenapa?
Inilah peluang untuk anda dapatkan customer yang nak cari pisang goreng, keropok lekor, epok-epok dan lain-lain yang sesuai dimakan pada waktu petang.
Selain lokasi strategik, pastikan lokasi anda berniaga tu bersih. Kebersihan memainkan peranan yang sangat penting dalam perniagaan makanan dan minuman.
Kalau anda menghadapi masalah untuk cari lokasi strategik, tak perlu risau. Teruskan baca, saya akan cuba bantu anda walaupun anda tak dapat lokasi tepi jalan yang strategik.
2. Masa
Perkara yang kedua ialah masa.
Masa berniaga terpulang kepada anda sama ada waktu pagi atau petang. Saya ulang lagi macam dalam tips lokasi, pilih tepi jalan orang nak pergi kerja kalau jual waktu pagi atau pilih tepi jalan orang nak balik kerja kalau jual waktu petang.
Kalau boleh jangan cuti langsung barulah orang ramai seronok.
Saya faham kita bukannya robot takde cuti. Sedangkan robot pun boleh rosak kalau kerja tak henti-henti. Ada masa nak kena servis tukar minyak, tukar filter, ganti spare part dan lain-lain.
Cukuplah cuti seminggu sekali. Maximum 2 hari cuti dalam seminggu.
Lagi kurang cuti lagi bagus. Lagi banyak income boleh dapat.
Sebaik-baiknya bagitau pelanggan waktu cuti anda supaya dorang tak buang masa nak singgah masa anda cuti.
Selain masa cuti, tempoh masa sediakan makanan atau minuman pelanggan pun memainkan peranan yang penting. Cuba sediakan secepat mungkin tapi berhati-hati supaya takde makanan/minuman terjatuh atau tumpah.
Kalau masa penyediaan terlalu lama nanti kesianlah dekat pelanggan-pelanggan anda. Kalau dorang sanggup tunggu dan beratur sekalipun bukan bermaksud anda boleh buat kerja lambat-lambat.
Walaupun anda peniaga, cuba letakkan diri anda sebagai pelanggan. Kalau anda jadi pelanggan, nak tunggu lama-lama ke kalau setakat beli air atau kuih tepi jalan?
Dalam perniagaan ni ada masa naik dan ada masa turun. Masa perniagaan anda menurun, hendaklah anda sabar, muhasabah diri dan jangan putus asa.
Boleh jadi masa anda berniaga, ada kucing singgah. Jangan halau. Bagi kucing tu makan siap bagi minum sekali kalau boleh.
Insha Allah rezeki anda bertambah kalau tak kedekut. Boleh jadi kucing tu adalah ujian untuk anda.
Masa hujan?
Kalau hujan gerimis atau renyai-renyai, teruskan je berniaga.
Kalau hujan lebat disertai dengan angin yang kuat, cepat-cepat kemaskan barang-barang perniagaan anda. Jangan marah atau salahkan cuaca yang tidak menyebelahi anda.
Masa apa lagi?
Masa orang belum singgah, pastikan bekas makanan ditutup. Kalau jual air pastikan balang air pun ditutup. Kebersihan makanan dan minuman mesti dijaga.
Selain tu, gunakan peluang untuk selawat dan zikir. Baca ayat-ayat suci Quran pun bagus juga sementara customer belum singgah. Baca perlahan je, tak perlu kuat-kuat nak bagi orang ramai dengar.
Gunakan masa dengan sebaik-baiknya.
3. Layan
Perkara yang ketiga ialah layan.
Layan customer ni penting. Jaga akhlak bila berdepan dengan customer sama ada dorang lebih tua atau lebih muda dari anda.
Jangan cakap kasar dengan customer. Bukannya bermaksud kena buat suara manja atau gedik dengan customer. Cakap je la macam biasa dengan customer asalkan jaga adab.
Produk bagus macam mana sekali pun, kalau peniaga biadab tetap tak guna.
Kalau ada customer tegur makanan terlalu manis atau masin, anda terima je teguran tu. Kalau boleh jelaskan, sila jelaskan pasal rasa makanan tersebut.
Contohnya anda jual kuih keria, memanglah manis sebab anda cari penggemar kuih rasa manis.
Selain itu, jangan lebih-lebih bergurau dengan customer walaupun kelebihan anda ialah melawak. Boleh jadi gurauan yang anda rasa kelakar tu tak kelakar bagi customer malah menyakitkan hati pulak.
Bukan tak boleh bergurau langsung tapi kurangkan bergurau.
Kalau nak loyar buruk atau bergurau lebih-lebih dengan orang dah lama kenal atau dah biasa dengan gurauan anda sahaja.
4. Harga
Perkara yang keempat ialah harga.
Jangan jual lebih mahal dari harga makanan atau minuman di restoran. Orang yang singgah nak beli dari tepi jalan mengharapkan harga lebih murah dari restoran. Jadi kita tunaikan harapan mereka.
Contohnya kalau harga soto di restoran RM6, anda jual RM5 je. 10 kali beli dari anda dah jimat RM10 memang wow gitu.
Tak dapat jual murah seringgit, juallah lebih murah 50 sen.
Jual lebih murah tak bermakna mesti buat makanan atau minuman yang tak sedap. Kualiti kena jaga walaupun jual lebih murah dari restoran.
Jual murah tu bagus tapi jangan terlalu murah. Nanti susahlah mau untung.
Kalau nak jual betul-betul murah, jual satu jenis je.
Contohnya anda jual air sirap sebungkus RM1. Harga air yang lain-lain RM2 atau lebih. Harga air sirap tu kira harga "subsidi" atau harga "Pemulih".
Contoh lain anda jual nasi lemak RM1 sebungkus. Nasi lemaknya sedikit, sekeping telur dadar lebar macam kad pengenalan, kacang goreng sikit, ikan bilis sikit dan sambal setompok. Harga nasi lemak telur goreng atau telur rebus sebiji ialah RM2 atau lebih sekiranya pelanggan nak tambah kuantiti nasi lemak, tambah lauk dan lain-lain.
Satu jenis produk murah tu untuk tarik perhatian customer. Nanti dorang tengok ada pilihan-pilihan makanan atau minuman lain yang menarik, bolehla dorang beli walaupun harganya lebih tinggi.
5. Kerjasama
Perkara yang kelima ialah kerjasama.
Kerjasama yang saya maksudkan ialah cuba dapatkan peniaga lain untuk berniaga di sebelah anda. Dua atau tiga peniaga sebaris di tepi jalan lebih menarik perhatian dari berniaga sorang-sorang.
Pastikan anda dan peniaga yang nak bekerjasama tu jual benda yang tak sama. Barulah nampak beraneka pilihan. Pelanggan-pelanggan yang datang pun rasa seronok tengok macam-macam ada.
Selain dari aneka pilihan, anda boleh tukar duit kecil dengan peniaga sebelah anda kalau pelanggan bagi duit besar. Lain kali kalau anda ada duit kecil, giliran anda pula bantu peniaga sebelah tukar duit.
Kalau anda atau peniaga sebelah terpaksa tinggalkan sekejap tempat berniaga atas sebab-sebab tertentu pun tak jadi masalah. Boleh tolong jaga buat sementara.
Hubungan sesama peniaga tepi jalan kena jaga baik-baik.
Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
6. Penghantaran
Perkara yang keenam ialah penghantaran.
Seandainya lokasi perniagaan anda tidak seperti yang saya kongsikan dalam perkara yang pertama, anda kena buat penghantaran untuk naikkan hasil jualan anda.
Anda boleh pilih sama ada hantar sendiri atau gunakan perkhidmatan Foodpanda atau Bungkusit.
Kalau anda pilih untuk hantar sendiri, saya cadangkan customer beli sekurang-kurangnya RM10 baru hantar. Itu pun kalau dekat.
Kalau anda berniaga ada teman contohnya dengan isteri atau suami bolehla buat sendiri penghantaran.
Kalau berniaga sorang-sorang takkan nak tinggalkan tempat berniaga macam tu je masa hantar order customer?
Seandainya anda nak gunakan perkhidmatan Foodpanda atau Bungkusit, pastikan anda ada sijil SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia). Selain itu, anda kena ada banner nama perniagaan supaya rider senang cari lokasi perniagaan anda.
Kalau lokasi perniagaan tepi jalan anda memang dah strategik tapi nak buat penghantaran juga, silakan. Tak jadi masalah.
Ada apa nak tambah?
Seandainya anda nak buat QR code MySejahtera, sila tonton video ini.
Dah tahu cara buat QR code MySejahtera?
OK.
Mudah-mudahan saya dapat bantu anda yang baru nak berniaga tepi jalan melalui tips-tips yang saya kongsikan dalam content ini.
Seandainya content ini bagus, sila gunakan dengan sebaik-baiknya segala tips yang saya bagi. Semoga bermanfaat.
Kalau anda bukan peniaga tapi anda rasa content ini bagus, sila kongsikan dengan orang lain terutama orang yang baru nak berniaga tepi jalan.
Sekiranya content ini tidak bagus, sila berikan tips berniaga tepi jalan yang lebih baik melalui komen.
Wallahua'lam.
suka pegi kedai tepi jalan yg ada ruang sikit so that kita takyah kluar dari kereta pun..
ReplyDeleteDrivethru memang senang. Saya rasa kebanyakan customer lebih suka cara ni sebab tak payah keluar dari kereta.
Delete𝚃𝚚 𝚍𝚒𝚊𝚝𝚊𝚜 𝚙𝚎𝚗𝚎𝚛𝚊𝚗𝚐𝚊𝚗 𝚢𝚊𝚗𝚐 𝚙𝚊𝚍𝚊𝚝 𝚎𝚟𝚎𝚗 𝚜𝚢 𝚋𝚞𝚔𝚊𝚗 𝚙𝚎𝚗𝚒𝚊𝚐𝚊 𝚝𝚎𝚙𝚒 𝚓𝚊𝚕𝚊𝚗..𝚝𝚊𝚙𝚒 𝚋𝚒𝚕𝚊 𝚙𝚎𝚗𝚒𝚊𝚐𝚊 𝚝𝚎𝚙𝚒 𝚓𝚊𝚕𝚊𝚗 𝚋𝚊𝚌𝚊, 𝚍𝚘𝚛𝚊𝚗𝚐 𝚋𝚘𝚕𝚎𝚑 𝚒𝚖𝚙𝚛𝚘𝚟𝚎 𝚢𝚊𝚗𝚐 𝚖𝚊𝚗𝚊 𝚔𝚞𝚛𝚊𝚗𝚐..𝚖𝚞𝚌𝚑 𝚕𝚘𝚟𝚎..🥰😘❤
ReplyDeleteTerima kasih atas komen anda.
DeletePerlu lesen tak?
ReplyDeleteBiasanya otai-otai berniaga tepi jalan takde lesen. Kalau masuk pasar malam, pasar tani, pasaraya, kiosk, shoplot dan seumpamanya baru ambil lesen.
DeleteMajlis tak kacau ke klu niaga tepi jalan
DeleteMajlis tak kacau peniaga tepi jalan melainkan ada orang yang report.
Deleteterima kasih di atas perkongsian ilmu..sy bru nk blajar berniaga di tepi jln tapi dlm masa yg sama sy tkut bandaran kacau..sblm nie sy berniaga dpan rumah pembeli kurang..skrg sy cuba nk brniaga dekat pekan
Deletesaya baru nak berniaga tepi jalan jgak .tpi xtau nak nega apa saya mmg minat nak berniaga tpi ilmu xda ..bleh tlog jdi sifu saya ke??
ReplyDeleteMulakan dengan cari idea dulu nak jual apa di tepi jalan. Contohnya nasi lemak, kuih-muih, burger, air dan macam-macam lagi.
DeleteSaya tak layak jadi sifu.
Apa-apa hal semoga berjaya.
Salam,saya peniaga tepi jalan..jual nasi kukus..saya usahakan sendiri cari tapak,dari sale 1 hari 100 ringgit smpai lah saya dh ada Custmer skrg..bukan sng nak bertahan..tapi saya tak pernah putus asa,bila dah ramai Custmer, dtg la brader ni menjual nasi jugak kt tepi saya.. bukan nk tanya dulu blh tak nk meniaga kt tepi saya.. terus buka payung pacak mcm tu je..sombong pulak tu.. saya meniaga mmg dh ada lesen.. apa yg perlu saya buat? Buat aduan dah.. tp dtg saman je.. setiap bulan saya byr lesen ..urmm
ReplyDeleteBusuk hati la ko ni..kenapa pulak dia nak tanya ko dulu utk dia masuk niaga situ..ko dulu pun masa mula² confirm takde lesen..jgn igt ko org lama,ko boleh nak berlagak..kdg bukan org baru ni xnak beramah mesra,tp dari awal lg org yg acah² otai ni dah bg muka tahik bila ada org baru masuk..buat apa nak bertegur klu mcmtu..terus xjadi mat..
DeleteBanyak-banyak bersabar dan jangan bergaduh. Kalau boleh bawa berbincang elok-elok.
DeleteTerima kasih.. banyak sangat info berguna untuk semua peniaga jalanan..
ReplyDeleteTerima kasih atas tips2 ni. Saya dan anak baru nak mula niaga tepi jalan. Dalam persediaan siapkan barang2 yang perlu sebab kami jual dessert. Sebelum ni niaga dari rumah, skrg nak lebarkan sayap cari customer yang suka beli tepi jalan dan pelajar2 sekolah
ReplyDeleteSama-sama. Semoga bisnes dessert anda laris-mabis.
Deletetrfikir, nk resign kerja n nak start berniaga tepi jalan..tpi takut tu lebih dr sgalanya..payah laaa haii..anyone boleh bg moral support pd sy :)
ReplyDeleteKalau masih teragak-agak lebih baik jangan resign. Orang nak berniaga tak boleh teragak-agak .
Delete