Saturday, August 27, 2022

Zebab Jadi Jutawan (Cerita Dongeng)

Pada suatu hari ada seorang lelaki bernama Zebab berasal dari Kampung Pedalaman Santan. Zebab merupakan seorang lelaki yang bertubuh kurus dan pendek.

Cerita dongeng kali ini memang bosan.

Kerjanya setiap hari mencari besi, aluminium atau barang-barang yang dapat dijual atau yang masih boleh digunakan.

Pada waktu malam, Zebab banyak meluangkan masanya untuk menghadiri kuliah-kuliah agama di surau atau di rumah jiran.

Setelah bertahun-tahun kerja korek sampah, Zebab mula terfikir sesuatu.

"Sampai bila aku nak kerja kutip sampah je? Bila aku nak jadi kaya kalau macam ni?" Kata hati Zebab.

Zebab mula membuat perancangan awalnya untuk jadi kaya. Puas dia fikir macam mana nak jadi kaya.

Zebab baring atas katil sambil bercakap dengan dirinya sendiri di dalam hati.

"Takkan aku nak sara hidup keluarga aku dengan korek sampah je? Kesianlah bini dengan anak-anak aku."

"Kalau semua orang Kampung Pedalaman Santan bagi aku duit kan bagus. Nak minta derma? Minta upah potong rumput?"

"Susahlah nak kaya cepat kalau macam tu. Minta derma tu bagus juga tapi boleh dapat ke sekali minta RM5000 seorang?"

"Macam mana nak minta orang kampung bagi RM5000 ke RM10,000 seorang?"

"Lainlah kalau aku boleh bagi pulangan 10 ke 20 kali ganda kat dorang mesti dorang nak punya.. Hah! Aku dah dapat idea!"

Pada keesokan harinya Zebab jumpa seorang jiran perempuan yang agak berusia, namanya Joyah. Zebab mencadangkan pelaburan yang akan menghasilkan pulangan yang lumayan dalam masa terdekat.

"Di negeri Wilayah ada banyak tanah dan bangunan kosong yang nak diusahakan. Inilah peluang sebelum harga tanah dan bangunan kat sana melambung tinggi, bayangkan makcik melabur RM10,000 je tapi boleh untung lebih RM100,000. Makcik percayalah saya ikhlas nak bantu bangsa sendiri, takkanlah saya nak menipu.. Berdosa besar tu.."

Maka makcik Joyah merangkap jiran Zebab pun bersetuju untuk memberi RM10,000. Hampir habis segala duit simpanan dan barang kemasnya digadai untuk dapatkan RM10,000 secepat mungkin.

Zebab tidak berhenti di situ je, dia ajak lebih ramai orang-orang kampung sertai pelaburan hartanah rekaan semata-mata. Hampir 80% penduduk Kampung Pedalaman Santan telah memberikan sejumlah wang yang besar kepada Zebab.

Kebanyakan penduduk kampung terpedaya dengan kata-kata Zebab sebab dia sentiasa menggunakan ayat-ayat Quran dan Hadis apabila berbicara.

Zebab langsung tidak rasa bersalah menjadi penunggang agama. Apa yang penting bagi Zebab ialah menjadi kaya-raya. Zebab tak peduli dengan hasil haram asalkan hidup senang.

Zebab semakin rancak menjalankan rancangannya sehingga ke beberapa buah kampung yang lain. Jumlah wang yang diminta oleh Zebab pula makin tinggi dari RM10,000 ke RM20,000 seorang.

Tidak cukup dengan orang-orang kampung, artis-artis pun ada yang terpedaya dengannya. Mereka cukup mudah terpedaya apabila Zebab bercakap seperti orang yang warak.

Dalam masa beberapa tahun je, Zebab berjaya kumpul duit berjuta-juta banyaknya. Zebab yang dulunya kurus pendek kini telah menjadi gemuk pendek.

Zebab dengan segera mencuci duit hasil menipu itu dengan menubuhkan syarikat hartanahnya sendiri iaitu Zebab Hartanah Sdn Bhd. Selain itu, Zebab juga menerbitkan buku motivasi yang bertajuk 'Rahsia Si Gemuk Pendek Jadi Jutawan'.

Disebabkan duitnya masih banyak, Zebab beli sebuah drone custom made untuk kegunaannya sendiri. Drone yang ditempahnya cukup besar dan kukuh untuk angkut 6 orang atau beban berat maksimum 900kg.

Zebab mahu dirinya sentiasa dilihat baik depan orang ramai. Caranya ialah, Zebab rakam dirinya dan isteri termasuk anak-anaknya guna drone peribadinya untuk pergi ke warung tepi jalan. Rakaman tersebut dimuat naik ke laman sosial miliknya.

Teknik Zebab menjadi sebab kebanyakan netizen yang melihat video rakamannya memuji Zebab sebagai seorang jutawan yang rendah diri. Makin rajin Zebab upload video-video dia naik helikopter singgah ke gerai atau warung tepi jalan, makin bertambah pengikut-pengikut Zebab di laman sosial.

Tiba-tiba..

Ada seorang artis perempuan bernama Tulip memuat naik video untuk meluahkan rasa kecewa. Dalam video tersebut, Tulip mendedahkan bahawa dirinya telah diperdaya oleh Zebab untuk menyertai pelaburan hartanah sebanyak RM20,000.

Zebab bertindak pantas dengan menyaman Tulip. Disebabkan Tulip tidak ada bukti untuk mendakwa Zebab, Tulip terpaksa menarik balik dakwaannya. Zebab yang mahu dipandang mulia terus buat press conference untuk mengeluarkan kenyataan bahawa dia telah memaafkan Tulip yang memfitnahnya.

Berita Zebab memaafkan Tulip telah berjaya menambah lebih banyak pengikut-pengikut taksubnya di media sosial. Ekoran itu, tiada lagi mangsa-mangsa Zebab yang berani bersuara sebab tiada bukti hitam putih dan takut kena saman.

Sekian.

Ini cerita rekaan semata-mata tiada kena mengena dengan orang yang masih hidup atau pun yang sudah meninggal dunia.

Saya ada cerita dongeng lain tajuknya 'Kisah Si Penjual dan Pembeli Tikus'.

No comments:

Post a Comment

Komen yang baik dilayan dengan baik. Terima kasih.