Sunday, February 23, 2025

Kerja Sendiri vs Kerja Makan Gaji

Mana satu yang lebih baik antara kerja sendiri dan kerja makan gaji?

kerja sendiri vs kerja makan gaji

Seandainya anda masih terfikir-fikir nak kerja sendiri atau kerja makan gaji, sila baca artikel ini sampai habis.

Anda boleh dapat duit dengan cara kerja sendiri atau kerja makan gaji tapi cara dan jumlah yang anda dapat mungkin berbeza.

Kedua-dua pilihan ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri bergantung kepada minat, kemahiran, dan matlamat kewangan anda.

Saya akan buat perbandingan antara kerja sendiri dan kerja makan gaji dari segi definisi, contoh, kelebihan dan kekurangannya.


Definisi

Kerja sendiri merujuk kepada seseorang yang menjalankan perniagaan sendiri. Maknanya anda adalah bos dan anda juga adalah pekerja.

Kerja makan gaji pula merujuk kepada orang yang bekerja untuk individu, syarikat atau organisasi dengan menerima gaji atau upah mengikut perjanjian yang telah ditetapkan.


Contoh

  • Kerja sendiri : Peniaga pasar malam, peniaga pasar tani, peniaga tepi jalan, freelancer dalam bidang IT, freelance writer, freelance cameraman, blogger, app developer, Youtuber, Tiktok influencer, penulis novel, food reviewer, food promoter, personal trainer, tukang jahit, tukang kasut.
  • Kerja makan gaji : Pembantu peniaga di pasar malam, pekerja kilang, posmen, pegawai kerajaan, eksekutif syarikat swasta, cikgu sekolah rendah kebangsaan, jurutera di syarikat multinasional, doktor di hospital kerajaan.


Kelebihan dan Kekurangan

Kerja Sendiri

Kelebihan:

  1. Kebebasan Masa : Boleh mengatur jadual kerja sendiri tanpa kekangan majikan.
  2. Potensi Pendapatan Lebih Banyak : Jika perniagaan berjaya, keuntungan boleh jadi meningkat berlipat kali ganda.
  3. Kepuasan Peribadi : Peluang membina jenama sendiri dan bekerja mengikut cara sendiri.
  4. Kreativiti : Boleh bereksperimen dengan strategi dan idea tanpa sekatan.

Kekurangan:

  1. Tiada Pendapatan Tetap : Ada masa untung sikit atau sekadar balik modal je. Boleh jadi rugi kalau takde permintaan.
  2. Tanggungjawab Besar : Perlu menguruskan sendiri segala aspek perniagaan termasuk kewangan, pemasaran dan operasi.
  3. Tiada Faedah Pekerjaan : Tiada manfaat seperti KWSP dan cuti bergaji.
  4. Risiko Tinggi : Berdepan risiko gulung tikar kalau perniagaan tidak berkembang atau menghadapi persaingan sengit.


Kerja Makan Gaji

Kelebihan:

  1. Pendapatan Tetap : Gaji diterima secara konsisten setiap bulan.
  2. Faedah Pekerjaan : Manfaat seperti KWSP, insurans kesihatan, cuti bergaji, elaun dan bonus.
  3. Kerja Stabil : Kurang risiko kehilangan pekerjaan jika bekerja dengan syarikat yang kukuh.
  4. Peluang Tambah Pendapatan : Fokus kepada tugas tertentu dan berpeluang untuk naik pangkat atau naik gaji.

Kekurangan:

  1. Terikat Dengan Majikan : Perlu mengikut arahan majikan dan mempunyai jadual kerja tetap.
  2. Kenaikan Gaji Terhad : Pendapatan hanya meningkat berdasarkan kenaikan gaji tahunan atau kenaikan pangkat.
  3. Kekurangan Fleksibiliti : Sukar untuk bercuti atau mengambil cuti tanpa kebenaran majikan.
  4. Tekanan Kerja : Menghadapi tekanan kerja tinggi bergantung kepada tempat kerja, teman sekerja dan majikan.


Kesimpulan

Pilihan antara kerja sendiri dan kerja makan gaji bergantung kepada personaliti, matlamat kewangan dan tahap kesabaran anda menghadapi cabaran.

Jika seseorang lebih suka kestabilan dan pendapatan tetap, kerja makan gaji adalah pilihan terbaik.

Namun jika anda mempunyai semangat keusahawanan dan sanggup mengambil risiko, kerja sendiri boleh membawa lebih kepuasan dan potensi pendapatan yang lebih tinggi.

Mana tahu bermula dengan kerja sendiri lama-lama jadi usahawan yang terbilang?

Boleh buka lebih banyak peluang pekerjaan dan bantu kurangkan masalah pengangguran.

Nak buat kerja sendiri dan kerja makan gaji sekaligus boleh tak?

Anda boleh buat kerja sendiri dan kerja makan gaji tapi jangan campur aduk kedua-duanya.

Contoh anda kerja sebagai kerani di sebuah syarikat kecik tapi setiap hari Sabtu atau Ahad anda berniaga di pasar malam untuk tambah pendapatan.

Contoh lain pula anda peniaga tepi jalan tapi setiap hari Sabtu atau Ahad anda terima upah sebagai cikgu tusyen.

Jangan buat kerja makan gaji sambil berniaga di tempat kerja anda.

Contohnya anda kerja sebagai cikgu sekolah tapi sibuk dok promote penapis air, alat make up, tudung, telekung, kuih, kerepek, kuali, jamu, supplement, simkad dan macam-macam kat sekolah.

Tak berkatlah buat macam tu. Time bekerja buat kerja betul-betul. Dah habis kerja nanti barulah berniaga sungguh-sungguh.

Kalau gaji tak berkat, banyak macam mana pun duit akan terasa tak cukup. Hidup asyik dilanda masalah je tak habis-habis.

Tak salah nak kerja makan gaji dan berniaga tapi kena ada masanya.

Masa kerja makan gaji, fokus buat kerja betul-betul.

Masa berniaga, berniaga sungguh-sungguh.

Carilah rezeki seolah-olah anda nak hidup lagi seribu tahun dan beribadatlah seolah-olah anda akan mati pada hari esok.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment

Komen yang baik dilayan dengan baik.
Jangan kongsi link di bahagian komen.
Terima kasih.